Sunday 23 December 2012

MENGGILAP BATU HARAPAN BORNEO by : NASPAZI

MALAYSIA, hanya satu gagasan antara negara. Malaysia hanya satu persatuan antara negara. Malaysia hanya satu syarikat antara negara; dan Malaysia hanya satu rakan kongsi antara negara yang ditubuhkan bersama oleh Malaya, Sabah dan Sarawak (MASASA). Pembentukan MASASA itu telah diluluskan oleh pemerintah Great Britain untuk dilaksanakan fungsi aspirasi penubuhannya pada 16 September 1963. Inti dan dasar atau terma dan syarat penubuhan MASASA di pihak Sabah dan Sarawak adalah isi kandungan Perjanjian 18/20 Perkara. Manakala, inti dan dasar, atau terma dan syarat kelulusan atau pembenaran penubuhan MASASA di pihak Great Britain pula adalah isi kandungan Perjanjian Malaysia pada 9 Julai 1963. Antara 9 Julai 1963 hingga 16 September 1963, Great Britain telah membenarkan Sabah dan Sarawak mengisytiharkan tarikh hari kemerdekaan mereka dari menjadi tanah jajahan British. Justeru, Sarawak telah memilih tarikh hari kemerdekaannya pada 22 Julai 1963. Manakala, Sabah pula telah memilih tarikh hari kemerdekaannya pada 31 Ogos 1963. Dengan kata lain, ada persamaan dengan tarikh, hari dan bulan kemerdekaan Malaya, tetapi berlainan tahun. Menurut Perjanjian 18/20 Perkara, iaitu Perkara 9 menyatakan bahawa, setiap usaha hendaklah dibuat untuk menggalakkan para pegawai British supaya kekal di dalam perkhidmatan awam sehingga tempat mereka boleh diambil alih oleh warga Borneo Utara yang sesuai dan berkelayakan. Tegasnya, perkhidmatan awam kerajaan negara Sabah adalah hak mutlak penduduk tetap negara Sabah. Namun begitu, transisi peralihan kuasa perkhidmatan awam di Sabah dari tangan pegawai British kepada tangan pegawai perkhidmatan awam penduduk tetap Sabah mengambil masa sekurang-kurangnya dalam tempoh sepuluh tahun (31 Ogos 1963 – 31 Ogos 1973). Malangnya, selepas tempoh transisi pengunduran penuh pegawai perkhidmatan awam British kepada pegawai perkhidmatan awam penduduk tetap Sabah, suntikan maut jarum fitnah regim Malaya telah mula dieksport ke Sabah, iaitu sebagaimana yang telah penulis jelaskan dalam artikel yang lepas-lepas. Dalam erti kata lain, Regim Malaya telah memecah belahkan pemimpin Sabah kepada beberapa gerombolan yang tamak, gerombolan yang rakus dan gerombolan pentingkan diri sendiri; tanpa menghiraukan lagi atau tanpa memperdulikan lagi, akan hak-hak dan kepentingan holistik atau kepentingan menyeluruh rakyat Sabah. Pada hal, tujuan sebenar atau kemuncak realiti regim Malaya memecah belahkan pemimpin Sabah kepada beberapa gerombolan adalah untuk membangun sebuah kerajaan 'Barua', sebuah kerajaan 'Boneka' dan sebuah kerajaan 'Kuda Tunggangan' mereka di Sabah; agar mereka dapat merompak, menyamun, mengaut dan memunggah hasil masyhul Sabah ke Malaya dan seterusnya memiskinkan Sabah. Yang demikian, mereka telah lupa, pura-pura lupa atau dengan sengaja berani tergamak mencabul Perjanjian 20 Perkara dan hak-hak Sabah yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963. Justeru, puluhan tahun kemudian, rakyat Sabah telah dipaksa menghadapi fakta tragis, fakta tragis yang berhubung dengan ramai pemimpin Sabah yang terkorban dalam peristiwa “Double Six” pada 6.6.1976. Puluhan tahun kemudian, Sabah kehilangan hak ke atas jabatan- jabatan perkhidmatan awamnya sendiri. Puluhan tahun kemudian, Sabah kehilangan statusnya sebagai negara yang menjadi rakan kongsi Malaya dalam Malaysia. Puluhan tahun kemudian, tanah besar Sabah menjadi sepi dan lengang akibat kehilangan Pulau Labuan dan warganya sebagai satu keluarga besar rakyat Sabah yang menjadi warisan bangsa nenek moyang antara keduanya. Puluhan tahun kemudian, rakyat Sabah mendapati dirinya dalam buangan di tanah airnya sendiri sebagai bangsa lain-lain dan mendapati dirinya merengkuk di sudut gaung minoriti, akibat rempuhan PATI yang menjadi warganegara Sabah angkara IC Projek regim Malaya.

Http://sabahkini.net/index.php?option=com_content&view=article&id=16775:menggilap-batu-harapan-borneo&catid=40:laporan-khas&Itemid=49

About Me

Just an ordinary people,who want to see independence for his own country.